You are here >> Home >> News >> Cuepacs Terus Berharap Kerajaan Timbang Pemberian Honorarium

Cuepacs Terus Berharap Kerajaan Timbang Pemberian Honorarium

Friday, October 5th, 2007, Bernama Press Release

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian bonus ataupun sebagai gantinya honorarium kepada setiap kakitangan kerajaan sebelum akhir tahun ini.

Presidennya Omar Osman berkata pemberian itu dapat meringankan beban kakitangan awam berikutan kenaikan harga barang selain menghargai sumbangan kakitangan sempena sambutan kemerdekaan ke-50.

"Tidak salah untuk kerajaan menimbangkan pemberian honorarium sebanyak RM2,000 bagi setiap kakitangan tanpa mengira gred jika ia dapat meningkatkan kualiti kerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Komuniti Cuepacs (CCS) di sini, hari ini.

Beliau berkata pemberian bonus atau honorarium itu bukan bagi menafikan langkah kerajaan yang baru sahaja menaikkan gaji kakitangan awam tetapi Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa gaji adalah berbeza dengan pembayaran bonus.

"Cuepacs merasakan kerajaan berkemampuan untuk membayar honorarium atau bonus kepada semua kakitangan awam kerana pemberian bonus sudah menjadi kelaziman bagi kakitangan awam sebelum ini, walaupun dalam kegawatan ekonomi kakitangan awam tetap menikmati bonus," katanya.

Omar berkata kakitangan kerajaan meletakkan harapan tinggi untuk mendengar kerajaan membuat pengumuman pemberian bonus sehingga sekarang kerana keadaan tanpa bonus ini menjelang musim perayaan ini sesuatu yang aneh setelah menjadi kelaziman menerimanya sejak 1992.

Selain itu, Cuepacs juga menggesa kerajaan untuk mengkaji semula pinjaman perumahan kerajaan yang dikatakan wujud ketidakadilan kepada kakitangan yang membuat pinjaman sebelum 1995.

Omar berkata mereka yang membuat pinjaman sebelum tahun 1995 perlu membayar baki pinjaman perumahan walaupun bersara awal kerana masalah kesihatan sebaliknya peminjam selepas tahun itu dikecualikan membayar baki pinjaman kerana terdapat pelindungan insurans.

"Perkara ini perlu diteliti semula untuk mengelakkan masalah yang lebih serius pada masa depan memandangkan lebih 40,000 kakitangan awam membuat pinjaman perumahan sebelum 1995," katanya.

Cuepacs turut kecewa dengan pihak perbendaharaan yang sehingga ini gagal untuk menjawab surat rayuan berhubung masalah itu yang dihantar Mac lepas.

"Cuepacs akan meneruskan usaha dan masalah ini akan dipanjangkan ke konvensyen Cuepacs pada 10 dan 12 Disember ini," katanya.

Terdahulu Omar merasmikan sistem CCS yang membolehkan anggota kesatuan menyalurkan sebarang aduan serta permasalahan menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor 33334.

-- BERNAMA

Product Highlights